lalala

Thursday, 9 June 2016

Virus Nafsu dan Vaksin Ramadan

Virus Nafsu dan Vaksin Ramadan
Bismillahirrahmanirraheem
In The Name of Allah, the most Beneficent, the most Merciful
I testify that there’s no God to be worshiped but Allah,
And I testify that Muhammad (peace be upon him) is His messenger.
Alhamdulillah, thummalhamdulillah, ala ni’mati Ieman wal Islaam,
Walhamdulillah, ala ni’mati Ramadan.
Allahumma sallimna li Ramadan, wa sallim Ramadan lana.
Ya Allah sejahterakan kami untuk Ramadan,
Dan sejahterakan Ramadan untuk kami.

Credits ; The Islamic Online University


Menurut Habib Ali al-Jufri di dalam sebuah nasihat ringkas, pesannya :
“Apabila bertemu dengan malam Ramadan, Rasulullah akan berdoa “Ya Allah, selamatkanlah kami untuk Ramadan dan selamatkanlah Ramadan untuk kami.”
 Riwayat lain : “Selamatkanlah Ramadan dari kami.” Iaitu jangan biarkan kami berbuat jahat dan jangan biarkan kami meragut kemuliaan Ramadan, jangan biarkan kami berbuat dosa yang tidak sepatutnya dan kurang beradab dalam kemuliaan bulan Ramadan. Dan selamatkanlah ia penuh penerimaan untuk kami. Inilah cara Rasulullah ketika bertemu malam Ramadan.


Melihat scenario Ramadan dalam kalangan alam Melayu, kadang-kadang serasa tenang, kadang serasa geli hati. Mana tidaknya, kaum Melayu yang dilentur dengan adab sopan dan keluhuran budi ini menyambut Ramadan dengan penuh beradab sekali. Pesta ibadah yang meriah. Ibrah yang ditemui merata-rata. Keinginan yang membuak-buak untuk membersihkan seluruh hati dan jiwa. Masya-Allah. Ini adalah bagian sambutan Ramadan yang saya temukan pada sebahagian besar kenalan saya. Namun, yang membuat geli hati adalah, masih wujud golongan tipikal yang menyambut Ramadan sekadar berpuasa. Yang lebih diutama dan dinanti-nantikan adalah habuan kemenangan berpuasa. Ini serious bikin gelak. Zaman budak-budak dulu tak apalah, Ramadan itu sekadar puasa yang isinya lapar dan dahaga. Cukup bulan, ajak mak abah pergi shopping baju raya dan set geng untuk ronda kampong kutip duit raya. Tapi scenario ini bukan topik utama yang ingin saya kupas. Ia sekedar bicara basa-basi yang menjadi muqadimah bicara sebenar hari ini. Dan scenario ini tidak sama buat semua orang. Ia bergantung kepada siapa anda menjadi kawan dan bagaimana anda membentuk ruang lingkup kehidupan social anda.


Saya lebih tertarik untuk menyingkap satu skop yang lebih besar, yang jarang kelihatan di balik indahnya Ramadan. Yang gelap, hitam, menyeramkan. Yang tidak terlihat dek mata kasar dan mungkin saja tempiasnya belum membias ke sosok tubuh kita mahupun keluarga kita, tapi di dunia sebelah sana, ini benar-benar terjadi. Aneh sekali merasakan menulis hal sebegini di bulan mulia, kerana selalunya menulis di bulan Ramadan perihal perasaan atau keindahan alam jauh lebih mudah dan menyenangkan, berbanding menyingkap kisah hitam yang satu ini. Tapi hari ini kerana saya tidak mampu berdiri sendiri menyikapi permasalahan ini, buah fikir ini saya kongsi. Agar sama-sama ditelusuri. Sekiranya belum mampu membuahkan solusi sekalipun, mudah-mudahan mampu membuat kita tegar berdiri, dan menyanggupi amanah seorang Muslim.

It is a story of a big polemic named ‘RAPE PROBLEMS’.

Tidak lama sebelum menjelangnya Ramadan, kita dikejutkan dengan kisah rogol dan bunuh secara kejam seorang gadis Indonesia , Eno Farihah yang mendapat liputan luas dan menyentap jantung hati ramai daripada gadis-gadis Melayu khususnya, dan masyarakat Nusantara umunya. Tidak perlu rasanya saya menggambarkan kesadisan penghujung hidup beliau. Moga saja almarhumah ditempatkan bersama para soliheen dan solihaat, dan mendapat sebaik-baik rehat daripada dunia yang sakit dan penat. Ini sekaligus membuatkan kita kembali membongkar kisah-kisah yang mempunyai profil hampir serupa, iaitu kisah mendiang Junko Furota dan almarhumah Nurin Jazlin. Kisah buasnya nafsu manusia dan rasa kasihan yang beransur hilang.

Kemudian, tak lama selepas itu, Syed Azmi (aktivis kemanusiaan) telah membongkarkan kisah sekumpulan Paedophile yang bergerak aktif malalui medium Telegram, sejurus selepas tertangkapnya Richard Huckle, seorang paedofilia prolific, bahkan pernah melakukan jenayah paedophile di Malaysia sendiri. Paedophile bukan jenayah baru , dan ia merupakan salah satu cabang daripada masalah seksual yang melanda. Jenayah ini mulai dikenali ramai setelah terbongkarnya kisah seorang pelajar Imperial College London yang menyimpan gambar-gambar pornografi kanak-kanak ditangkap oleh polis Britain. [Kredit fakta, catatan Dr.Ismail]

Saat kisah ini digembar-gembur oleh media, para netizen dan masyarakat mulai cakna tentang keselamatan anak-anak mereka, malah wujud individu-individu yang memulakan pelbagai inisatif untuk menangani masalah ini dan membantu mangsa-mangsa penderaan seksual melalui sokongan moral. Namun ini semua tidak lama. Kerana barah ini sudah terlalu besar (malignant) dan kita hanyalah mencantasnya di hujung-hujung sahaja.

Cukup dengan pendedahan kes-kes di sekitar Nusantara. Kita bergerak ke sisi dunia yang lain.
 Baru-baru ini Pope Francis mengumumkan peraturan baru yang dikenakan kepada paderi-paderi paedofilia. Tidak lama sebelum itu, di United Kingdom 2 kes ditemui guru perempuan meniduri anak murid lelaki daripada ribuan kes di sekolah menengah rendah (Middle high school) , melibatkan remaja lelaki bawah umur 18.  Ini belum dicampur kes-kes yang melibatkan dunia kelas ketiga seperti kes gadis-gadis Chibok yang diculik dan dijual sebagai ejen seks, dan pelarian-pelarian wanita Rohingya yang dirogol di khemah-khemah tahanan sebelum diperdagangkan oleh penjenayah pemerdagangan orang.  Sebuah video terbitan AJ+ yang diacarakan oleh jurnalis Palestin-Amerika Dena Takruri mendedahkan bahawa jenayah rogol di Amerika Syarikat melibatkan sekurang-kurangnya 1 daripada 5 wanita di Amerika pernah dirogol sekali seumur hidup, dan bilangan ini makin bertambah apabila melibatkan 1 daripada 3 tentera-tentera wanita di kem-kem latihan askar pernah menjadi mangsa rogol kepada pegawai tentera lainnya. Di China, patung-patung perempuan (mannequin) dijual sebagai alternatif bagi mengelakkan para suami curang dan meniduri wanita lain.

Lihat.

Dunia kita semain sakit dan tenat. Kita baru bicara soal masyarakat yang sakit jiwa dan rohaninya, masyarakat yang hidup ditunggangi nafsunya. Kita belum bercakap tentang kehancuran institusi keluarga, transgender, dadah, nuclear, perebutan kuasa dan sebagainya.
Tidak mudah menaip dan mengingat semua fakta-fakta yag menggerunkan ini sekiranya tidak disertakan dengan tafakur mencari jalan keluar. Lucu apabila kita hidup membayangkan dunia semakin aman, hakikatnya dunia semakin menuju kehancuran.

Nak tahu apa yang lebih menyedihkan?

Kegilaan masyarakat sekarang yang lebih suka menuding jari dan mencari salah orang lain tanpa cuba memerhatikan lompong diri sendiri. Kes-kes rogol malah dijadikan bahan kelakar, lawak bodoh yang langsung tidak lawak. Budaya victim-blaming menjadi ikutan. Ya, pada asalnya kita sendiri maklum, wanita-wanita yang berpakaian tidak cukup kain itu mengundang nafsu lelaki. Buaya, mana mungkin menolak bangkai. Tapi fenomena hari ini, bangkai tiada, haiwan lain yang dibangkaikan. Kita juga maklum bahawa dengan kemudahan akses kepada internet pada hari ini membuatkan pornografi menjadi tatapan harian. Daripada keseluruhan kes rogol yang berlaku di Amerika, hanya 40% yang dilaporkan kepada pihak polis, dan hanya 10% daripada jumlah tersebut menerima hukuman.

Kita tahu itu salah, tapi hakikatnya kita membenarkan. Mungkin bukan saya, bukan anda, tapi pandangan alam (world view) kita seolah-olah mengiyakan.

Ironi sekali apabila di suatu enjin berita yang mengkhabarkan kes-kes sebegini di bahagian berita lokal, di bahagian berita hiburan menyangkan pula gambar yang entah apa-apa. Ironi sekali apabila sebuah syarikat majalah yang memaparkan tentang gaya hidup sihat menerbitkan majalah lain yang menceritakan tentang fesyen dan seks semata. Lucu bila badan-badan kecil sibuk melakukan pembaikan masyarakat (islah) tetapi pihak yang lebih berautoriti masih terikat dengan janji-janji dan gaya hidup ala Barat.  Ini sungguh, seperti sebuah kitaran yang tidak berkesudahan.

Masyarakat dididik oleh media untuk menanggapi bahawa pornografi adalah perkara biasa untuk ditonton, apatah lagi untuk remaja lelaki yang meningkat dewasa. Masyarakat direncahkan bahawa adegan-adegan atas katil dan ringan-ringan adalah bahan pelaris di dalam sebuah cerita. Masyarakat wanita khususnya digoda dengan pentas fesyen yang membawa ideologi lebih banyak yang kita dedahkan, lebih menarik dan lebih mengikut trend. Masyarakat kita didodoikan dengan lagu berunsur lucah dan video muzik yang langsung tiada tapisan etika pakaian yang menjadi zikir harian. Masyarakat kita akhirnya terjebak dalam persaingan mengejar pandangan manusia, mahu digelar juara dan tidak mahu mengaku kalah,hatta dalam perkara-perkara yang melibatkan jenayah seks dan maruah. Ya, kita tahu semua ini salah, tapi kita tidak mampu berkata tidak. Kan?

Fenomena tidak mampu berkata tidak ini pernah disentuh oleh John Stossel di dalam penulisannya ‘No, They Can’t’. Namun jauh sebelum itu, bagi yang beragama Islam seperti kita, maka kita sepatutnya lebih mengetahui bahawa agama adalah penawar. Bagi semua virus yang mengjangkiti masyrakat pada hari ini, agama adalah ubat yang paling mujarab. Apatah lagi di kesempatan Ramadan. Namun masih ada yang memilih untuk membiarkannya pergi begitu sahaja.


Bertegaslah dengan diri saat memasuki madrasah tarbiah Ramadan. Kerana di bulan yang dibuka seluas-luasnya pintu Syurga dan ditutup serapat-rapatnya pintu Neraka ini, kita tidak perlu memilih untuk ingkar. Kerana di bulan yang dirantai habis seluruh syaitan durjana ini, yang tinggal hanya kita dan nafsu kita. Maka cuba untuk tidak menggantikan kekosongan kerja yang ditinggalkan oleh para syaitan. Hanya 30 hari ini untuk kita menundukkan nafsu yang selama ini kita turuti. Hanya sebulan ini untuk cuba meraih pandangan dan keampunan Ilahi. Hanya 720 jam ini untuk benar-benar memperuntukkan diri kepada yang mencipta kita dari sehina-hina air mani.

Soal istiqomah atau tidak, itu lain cerita. Apa yang penting ialah kita beri peluang pada diri untuk mencuba. Kalau gagal tidak mengapa. Boleh bangkit lagi dan teruskan mencuba.

Semoga yang keluar daripada madrasah ini adalah muslim-muslim yang bertaqwa. Yang menjadi ikon kepada muslim lain serta manusia-manusia di serata dunia. Yang mampu menunjukkan bahwa Islam itu indah sebenarnya, tidaklah seburuk kacamata Islamophobia. Yang mampu mengawal nafsu dan membersihkan hati kerana di situlah jatuhnya pandangan Ilahi.

Selamat berpuasa dengan iman dan pengharapan!
Ramadan kareem, Allahu akram!

Madinat Nasr, Kaherah.
4 Ramadan 1437 H.




2 comments:

  1. Fuh, lama tak baca tinta orang hebat nih.😊

    ReplyDelete
  2. Fuh, lama tak baca tinta orang hebat nih.😊

    ReplyDelete